22 Oktober 2010 : Jika anda bertanya kepada saya..

Agama ini dinamai Islam bukan kerana merujuk pada individu tertentu. Bukan juga kepada bangsa tertentu. Tidak juga kepada mana-mana tempat mahupun masa. Bebas daripada sebarang unsur tertentu. Agama ini dinamai Islam, menunjukkan sifat khas yang dikandung oleh makna “Islam” itu sendiri. Siapa saja yang bersifat sesuai dengan sifat “Islam” itu, maka dia adalah muslim.

Persoalannya, apakah itu “Islam”?

Makna perkataan “Islam” adalah tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangannya tanpa bantahan. Dinamai agama ini Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya tanpa membantah.

Hakikatnya, segala yang wujud di alam ini tidak terlepas daripada undang-undang Allah. Matahari, bulan, planet-planet beredar mengikut orbit masing-masing sepertimana yang telah digariskan oleh Allah. Maka, matahari itu muslim. Bulan itu muslim. Planet-planet itu juga muslim. Begitu juga pokok-pokok yang tumbuh apabila disirami air, dibekali dengan baja. Pokok,air dan baja itu yang memainkan peranan masing-masing mengikut aturan Allah itu juga muslim. Gunung ganang yang patuh pada perintah Allah untuk menjadi pasak yang mengukuhkan bumi itu juga muslim.

Dan lihatlah pada diri kita sendiri. Anggota-anggota badan kita juga adalah muslim. Mata digunakan untuk melihat, telinga digunakan untuk mendengar. Sesuai dengan undang-undang Allah. Bukan sebaliknya : mata digunakan untuk mendengar, telinga digunakan untuk melihat.Tidak. Anggota-anggota ini sentiasa patuh pada arahan Allah untuk menjalankan fungsinya. Maka mata itu pun muslim. Telinga itu pun muslim.

Dan ketika kita, manusia menerima untuk patuh kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya, maka itulah dinamakan muslim.

Mungkin ada yang menyangka bahawa Islam ini sifatnya mengongkong, tidak bebas kerana terpaksa tunduk pada sesuatu.

Tetapi ketahuilah bahawa Islam mengajar manusia untuk mengabdikan diri hanya pada Allah, dan bebas merdeka daripada selainnya.

Bebas daripada hawa nafsu sendiri.

Bebas daripada keinginan-keinginan yang tidak pernah puas.

Bebas daripada segala-galanya selain Allah.

Ketundukan, kepatuhan dan pengabdian pada Allah adalah suatu kebebasan mutlak.

Jika ada anggapan bahawa Islam itu hanyalah pada mengucap kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji..dan tidak ada kaitan dengan selainnya (pendidikan, ekonomi, perundangan dan lain-lain), maka ia adalah suatu tanggapan yang salah.

Atau jika ada anggapan bahawa Islam itu cukuplah hanya dengan meyakininya di dalam hati, tanpa perlu dizahirkan di luaran, maka ia juga adalah suatu tanggapan yang salah.

Kerana Islam adalah lengkap dan menyeluruh, meliputi semua aspek kehidupan. Diyakini di dalam hati, dizahirkan dengan lisan dan perbuatan.

Al Quran adalah panduan hidup bagi seorang Muslim. Di dalamnya ada perintah solat. Ada perintah untuk berpuasa.

Di dalamnya juga ada perintah untuk menjaga hubungan baik sesama manusia.

Ada perintah untuk mentaati dan menghormati ibu bapa.

Ada perintah untuk jujur di dalam berjual beli.

Ada perintah untuk berusaha bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan.

Ada perintah-perintah dan larangan-larangan yang Allah aturkan untuk kebaikan manusia itu sendiri.

Cantik dan indahnya Islam ketikamana diberikan suatu panduan yang lengkap untuk manusia. Misalnya dalam bab kekeluargaan, Islam bukan sekadar mengajar bagaimana hendak memilih pasangan hidup, tetapi juga diajar dan dipandu sehinggakan jika timbulnya masalah dalam institusi kekeluargaan, diberinya pilihan-pilihan dan jalan keluar mengikut cara yang baik.

Kalimah syahadah adalah pintu masuk seseorang itu ke dalam Islam. Asyhadu al Lailahaillallah wa asyhadu anna Muhammadarrasulullah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Pertamanya adalah mengakui tiada tuhan selain Allah.

Keduanya adalah mengakui Nabi Muhammad itu utusan Allah, yang diutus kepada manusia untuk menjadi role model terbaik kepada manusia.

Mengapa Nabi Muhammad s.a.w yang diutus kepada manusia ini juga seorang manusia? Mudah sahaja. Supaya kita sebagai manusia mudah untuk mencontohi seorang manusia juga. Allah bukan sekadar membekalkan teori melalui Al Quran, tetapi diberi nampak secara praktikalnya dengan lebih terperinci melalui Nabi Muhammad s.a.w.

Dan jika anda menanyakan kepada saya, apakah itu Islam..

Maka jawapan saya..

Inilah Islam..

Yang membebaskan manusia daripada segala-galanya selain Allah.

Suatu kebebasan yang mutlak.

Comments

Popular posts from this blog

Lepaskan

3 Julai 2008 : Suatu penantian

TRIBUTE TO THE HEROES