28 Disember 2008 : Demi sebuah kerinduan



demi sebuah kerinduan,
luahan ini kuluahkan,
bingkisan ini kubingkiskan,
coretan ini kucoretkan..

hampir tidak sedar
lebih sedekad berlalu
melewati hari-hari tanpamu
ada masa berduka
ada masa gembira
ada masa menangis
ada masa tersenyum
ada masa tertawa
ah, aku terlupa, aku ini manusia
kadang aku terlupa, aku seorang hamba..

melewati hari-hari itu
syukur, tidak berasa kekurangan
lantaran Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang,
melimpahkan kasih dan sayangNya
mengurniakan insan istimewa
dialah ibu, dialah bapa
sejak pulangnya dirimu
kembali menemui pemilikmu

aku ini manusia biasa
punya hati, ada rasa
rindu dan cinta kurniaanNya..

aku tidak mampu untuk mengingati
sungguh, aku cuba untuk mengenali
kuingat cuma,
tatkala membangunkan anak kecilmu ini dari tidur,
tatkala memimpin anak kecilmu ini untuk sujud padaNya,
tatkala sujud, anak kecilmu masih berdiri, ah..mengantuknya!
sabarnya melayani kerenahku, anak kecilmu..

aku tidak mampu untuk mengingati
sungguh, aku cuba untuk mengenali
kuingat cuma,
tatkala terbaring lemah, sedikit bicara..
tatkala masih mampu tersenyum, mengubat hati zuriat2 amanah untukmu..
tatkala salam terakhir meniti di bibirmu..

aku tidak mampu untuk mengingati
sungguh, aku cuba untuk mengenali,
kuingat cuma,
sekujur tubuh..
yang tertutup matanya..
yang tiada lagi bicaranya..
yang nyawa pinjaman itu kembali diambil oleh pemiliknya..

lemahnya aku seorang manusia
tidak mampu untuk mengingati
melainkan apa yang dikehendakiNya..

namun, ku yakin, dengan amat sangat
meski ku tidak mampu untuk mengingati
ku seakan merasai, mengalirnya roh perjuangan itu dalam dirimu..

perjuangan mengumpul bekalmu di dunia,
bekal untukmu di alam sana,
yang kekal abadi, buat selamanya..

ku jua, ingin,
berjuang sebagaimana dirimu,
kerana jauh di sudut hati, ada bisikan..
aku anak pejuang..

sungguh, hari ini anak kecilmu redha..
kerana, tidak ada keadaan yang lebih baik..
dari apa yang ditakdirkan olehNya..

mengingatimu,
mengingatkanku,
aku jua akan pulang..

moga di keheningan pagi Muharram itu,
hijrahmu ke sana, dalam keredhaanNya..
amin..

~2 Muharram 1419H.moga Abah dikumpulkan bersama orang-orang yang dicintaiNya..~

Comments

Popular posts from this blog

Lepaskan

3 Julai 2008 : Suatu penantian

TRIBUTE TO THE HEROES