Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka!
Islam agama keluarga sebagaimana Kami telah tegaskan di dalam surah at-Talaq, kerana itu Islam menetapkan tanggungjawab di atas setiap orang Mu’min terhadap keluarganya dan menetapkan kewajipannya terhadap rumahtangganya. Rumahtangga seorang Muslim merupakan inti atau pusat kelompok Muslimin. Ia merupakan satu sel yang membentuk bersama sel-sel yang lain. Satu jisim yang hidup iaitu masyarakat Islam.
Rumahtangga seorang Muslim merupakan sebuah kubu dari kubu-kubu ‘aqidah Islam. Kerana itu kubu ini pastilah kukuh dan teguh dari Islam. Setiap orang dari anggota keluarganya harus berdiri mengawal setiap lubang kubu supaya kubu itu tidak mudah diserang musuh.
Kewajipan setiap Mu’min ialah mula-mulanya menghalakan dakwah kepada rumahtangganya dan keluarganya. Dia berkewajipan mengamankan kubu itu dari dalam dan berkewajipan menutupkan segala lubang-lubang kubu sebelum dia meninggalkan kubu itu untuk membawa dakwah ke tempat-tempat yang jauh.
Tugas itu juga pasti dipikulkan oleh ibu Muslimat, kerana bapa Muslim sahaja tidak cukup untuk mengamankan kubu itu, malah bapa dan ibu pastilah sama-sama mengawasi anak-anak mereka lelaki dan perempuan. Adalah sia-sia andainya ada lelaki yang mahu membangunkan masyarakat Islam dengan kaum lelaki sahaja, malah kaum ibu juga pasti turut membangunkan masyarakat itu, kerana merekalah yang menjaga tunas-tunas umat yang menjadi benih-benih dan buah-buah masa depan. Kerana itu Al Quran ditujukan kepada lelaki dan perempuan, dan kerana itu juga Al Quran mengaturkan rumahtangga dan menegakkannya di atas sistem hidup Islam, malah kerana itu juga Al Quran meletakkan tanggungjawab terhadap keluarga di atas bahu kaum lelaki Mu’min di samping memikul tanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.
Inilah satu hakikat yang pasti difahami sebaik-baiknya oleh para pendakwah Islam. Usaha dakwah yang pertama hendaklah ditumpukan kepada rumahtangga, kepada isteri, kepada ibu-ibu, kepada anak-anak dan kepada keluarga umumnya. Perhatian yang berat hendaklah diberikan untuk membentuk ibu Muslimat bagi mewujudkan rumahtangga Muslim. Mereka yang hendak membangunkan sebuah rumahtangga Muslim hendaklah lebih dahulu mencari ibu Muslimat, jika tidak pembinaan kelompok Muslimin akan mengambil masa yang lama dan bagunan masyarakat Islam akan terus goyang dan banyak lubang-lubangnya.
Dalam angkatan kelompok Muslimin yang pertama (di zaman Rasulullah), tugas membangun rumahtangga Muslim adalah lebih mudah dari zaman kita sekarang. Di zaman itu sebuah masyarakat Islam telah ditegakkan di Madinah, di mana Islam menguasai seluruh kehidupannya dengan kefahamannya yang bersih dan murni terhadap kehidupan manusia. Ia menguasainya dengan undang-undang syariatnya yang lahir dari kefahaman yang bersih itu. Ketika itu, yang menjadi sumber rujukan kepada kaum Muslimin lelaki dan perempuan ialah hukum Allah dan hukum rasulNya. Apabila sesuatu hukum itu telah diturunkan Allah, maka itulah keputusan yang terakhir. Dengan wujudnya masyarakat Islam yang menguasai seluruh kehidupan dengan kefahaman-kefahaman dan tradisi-tradisinya, maka pembinaan rumahtangga Islam menjadi mudah kepada wanita Islam untuk membentukkan diri mereka mengikut kehendak Islam. Begitu juga mudah kepada lelaki Islam untuk menasihat isteri-isteri mereka dan mendidik anak-anak mereka mengikut cara hidup Islam.
Tetapi di zaman sekarang kita berada dalam satu keadaan yang berlainan, kita hidup di dalam keadaan jahiliyah, iaitu jahiliyah masyarakat, jahiliyah undang-undang, jahiliyah akhlak, jahiliyah adat resam, jahiliyah peraturan-peraturan, jahiliyah adat susila dan jahiliyan kebudayaan.
Wanita-wanita Islam di zaman itu terpaksa menghadapi dan membuat hubungan dengan masyarakat jahiliyah ini di mana pengaruhnya dan tekanannya begitu kuat dirasakan oleh mereka apabila mereka hendak menyambut bimbingan Islam sama ada diperolehi dengan usaha mereka sendiri atau dengan usaha bimbingan kaum lelaki mereka, iaitu suami-suami, saudara-saudara lelaki dan bapa-bapa mereka. Di zaman Rasulullah saw, lelaki, perempuan dan masyarakat seluruhnya berhakimkan kepada satu kefahaman, satu hukum dan satu corak hidup sahaja, sedangkan di zaman ini kaum lelaki Muslim berhakimkan kepada satu kefahaman atau persepsi yang mujarrab yang tidak wujud di alam kenyataan, dan kaum wanita tertekan di bawah tekanan pengaruh masyarakat yang menentang kefahaman Islam dengan tentangan yang liar.Tidak syak lagi bahawa tekanan pengaruh masyarakat dan adat resam jahiliyah itu berganda-ganda lebih berat dirasakan oleh kaum wanita dari kaum lelaki.
Di zaman ini beban kewajipan kaum lelaki Islam telah berlipat kali ganda lebih berat untuk berusaha menyelamatkan diri mereka dari Neraka, dan setelah itu berusaha pula untuk menyelamatkan keluarga mereka yang sedang tertindih di bawah tekanan pengaruh dan tarikan jahiliyah yang hebat itu. Oleh itu, kaum lelaki Muslim hendaklah memahami kekuatan tekanan pengaruh jahiliyah yang berat itu supaya mereka dapat mencurahkan daya usaha mereka yang berlipat ganda lebih banyak dari apa yang dicurahkan oleh kaum lelaki dalam masyarakat Islam yang pertama (di zaman Rasulullah), kerana itu wajiblah di atas lelaki yang mahu membangunkan rumahtangga Islam supaya terlebih dahulu mencari isteri-isteri yang dapat menjaga kubu rumahtangga itu, iaitu isteri yang berfikir dengan berdasarkan sumber Islam yang sama dengan sumber pemikirannya, dan untuk mendapatkan isteri seperti itu dia terpaksa mengorbankan banyak perkara, iaitu mengorbankan kejelitaan palsu pada wanita, mengorbankan wanita cantik yang terdidik dalam rumahtangga yang fasiq, mengorbankan pandangan atau rupa paras lahir yang menarik pada wanita-wanita yang menjadi bangkai yang terapung dalam masyarakat. Ia terpaksa mengorbankan wanita-wanita itu untuk mencari wanita yang beragama yang dapat menolongnya untuk membangunkan sebuah rumahtangga Islam dan membina sebuah kubu Islam. Adalah menjadi kewajipan bapa-bapa Mu’min yang mahu mengembangkan kebangkitan semula Islam menyedari bahawa keluarga merekalah yang menjadi sel-sel hidup untuk kebangkitan ini dan menjadi amanah yang terletak di tangan mereka. Oleh itu, mereka wajib lebih dahulu melaksanakan tugas-tugas dakwah, pendidikan dan penyediaan kepada keluarga mereka sendiri sebelum melaksanakannya kepada orang lain. Mereka harus menyambut seruan Alllah yang menyeru mereka :
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”
Sumber : petikan daripada tafsir surah At-Tahrim, Fi Zilal Quran oleh Syed Qutub

Comments
Post a Comment